HATINYA berbelah bagi sama ada mahu menolak atau menerima sebaik dipelawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuka perniagaan berasaskan burung walit. Jika ditolak, takut peluang yang datang hanya sekali, namun jika diterima, risau tidak mampu mengendalikannya.
Ibarat ‘diluah mati mak, ditelan mati bapa’, itulah situasi yang berlaku kepada Suhazlinda Sahardin, 33, dan suami Mohd Hilmi Zakaria @ Mustafa, 31.
Namun selepas berfikir, akhir�nya mereka sepakat menerima pelawaan itu yang akhirnya membawa mereka ke arah kehidupan lebih baik.
Menyusuri kejayaan diraih dalam tempoh singkat, ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini tidak menyangka sambutan diterima di luar jangkaan, apatah lagi dirinya masih ‘hijau’ dalam perniagaan berasaskan burung itu.
“Sebenarnya burung walit memang dijadikan Allah hanya di negara Islam seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand. Itupun hanya di tempat yang banyak penduduk Islam seperti Selatan Thailand, Jawa, Sumatera dan Aceh.
“Ia sangat dekat dengan golo�ngan Melayu Islam tapi sayang�nya kita tidak sedar, sedangkan orang Cina terlebih dulu peka akan khasiat dan manfaatnya kepada manusia hinggakan 70 peratus permintaan melebihi penawaran kerana ramai masih tidak tahu kelebihannya,” katanya sewaktu ditemui di pejabatnya di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Burung walit atau nama saintifiknya Aerodramus Fuciphagus adalah sejenis burung daripada keluarga Aerodramus atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil swiflet. Ia selalu dikaitkan dengan burung layang-layang pada pengetahuan umum, namun sebenarnya ia berbeza.
Burung walit adalah spesies tidak bertenggek selain sarangnya boleh dimakan dan dihasilkan daripada kelenjar khas serta mempunyai tujuh spesies, manakala burung layang-layang berasal daripada keluarga hirudininae, gemar bertenggek dan sarangnya tidak boleh dimakan selain mempunyai 74 spesies.
Biasanya ia tinggal dalam gua atau rumah yang lembap atau gelap dan menggunakan langit-langit untuk membuat sarang sebagai tempat beristirahat serta membiak.
Burung ini berwarna gelap, terbang pantas dengan ukuran tubuh kecil selain memiliki sayap berbentuk sabit yang runcing dan kecil.
Selain mempunyai harga pasaran tinggi, sarang burung walit dipercayai mampu menyembuhkan penyakit seperti sakit paru-paru, panas dalam, melancarkan peredaran darah dan sebagai penambah tenaga.
Menurut Suhazlinda, selepas membuat keputusan menerima tawaran Fama, dia dan suami membuat penyelidikan selama enam bulan mengenai burung walit. Daripada pergerakan, tempat tidur, makanan dan waktu terbang, semuanya dipelajari dengan teliti kerana mahu menyebarkan ilmu tepat kepada masyarakat.
“Saya dengan suami berikrar membuka perniagaan ini secara serius dan mahu diingati sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya ada sumbangan kepada masyarakat yang boleh dikongsi untuk kebaikan bersama.
“Selama enam bulan hidup bersama burung walit, pelbagai perkara dipelajari dan satu daripadanya ialah sikap burung itu yang setia kerana ia bertelur dan membuat sarang di tempat sama sampai bila-bila,” katanya.
Selepas tamat penyelidikan, Suhazlinda dan suami memberanikan diri membuka perniagaan ini dengan modal sendiri sebanyak RM150,000. Dia juga berjaya mencari pembekal burung walit seluruh Malaysia kepada syarikatnya.
“Pada awalnya, saya dan suami kurang yakin dengan sambutan orang ramai, apatah lagi masyarakat Melayu yang kebanyakannya lebih berminat kepada harga produk lebih murah. Umum mengetahui sarang burung walit mempunyai harga mahal mencecah RM15,000 sekilogram.
“Meskipun mahal, kami cuba memberi harga termampu untuk masyarakat disebabkan nawaitu utama membantu dan bukan hanya bersandarkan keuntungan semata-mata. Kami turut me�nyertai pelbagai ekspo se�perti mini Maha yang mendapat sambutan luar biasa,” katanya.
Meskipun pernah membuka perniagaan lain sebelum ini, sambutan terhadap produk kesihatan dan kecantikan itu sungguh luar biasa. Dengan jujur dia mengakui tidak pernah mendapat hasil jualan produk seperti Walit Gold.
“Bayangkan, hari pertama gerai kami dibuka sewaktu mini Maha itu mencatat jualan 28,000 botol, hari kedua 30,000 botol manakala hari ketiga terjual hingga 35,000 botol hingga kehabisan stok.
“Alhamdulillah, kami tidak menyangka akan mendapat sambutan sehebat ini. Mungkin kesedaran orang ramai terhadap khasiat burung walit semakin meningkat dan keberkesanan produk ini yang bersifat sejuk dan baik untuk badan,” katanya.
Suhazlinda turut menambah, hanya orang tertentu ditugaskan untuk mencuci sarang burung walit kerana ia memerlukan tumpuan dan fokus tinggi sewaktu membersihkannya.
“Satu sarang burung memerlukan masa sebulan untuk dibersihkan, sebab itu kami cerewet memilih individu yang layak. Bukan apa, kualiti menjadi ke�utamaan dalam penghasilan produk ini.
“Sebab itu kami meletakkan kriteria tertentu untuk membersihkan sarang burung ini seperti berstatus bujang, tiada masalah penglihatan, berumur 25 tahun, tidak mempunyai teman lelaki mahupun wanita supaya mereka memberi sepenuh perhatian terhadap kerja dilakukan. Upahnya pula mencecah RM1,000 untuk satu sarang,” katanya yang datang daripada keluarga berniaga.
Dalam tempoh kurang setahun di pasaran, Walit Gold berjaya mengeluarkan tujuh produk pati sarang burung dengan pelbagai khasiat dan kegunaan bagi tujuan kecantikan dan kesihatan, antaranya Walit Gold Double Nest, Coenzyme Q19, Walit Gold Ready To Drink, dan Walit Gold Plus.
“Kami akan terus berusaha memper�kenalkan lagi khasiat burung walit di kalangan Bumiputera. Kalau boleh, kami mahu setiap kediaman mereka ada rumah burung walit supaya tiada lagi istilah kemiskinan kerana ia mampu bertahan hingga 20 tahun, di samping mendatangkan keuntungan berlipat ganda.
“Kita sudah 20 tahun ke�tinggalan dengan kaum Cina yang terlebih dulu mengetahui manfaat burung istimewa ini. Mereka menggunakannya dalam perubatan tradisional, malah diamalkan dalam menu harian. Sebab itu kulit, kesihatan dan pemikiran mereka sentiasa cergas meskipun memasuki usia emas.
“Bukan itu saja, mereka juga lebih cekap mengetahui nilai burung ini di pasaran dengan membina banyak rumah burung walit yang memberikan hasil lumayan,” katanya.
PROFIL
NAMA: Suhazlinda Sahardin
UMUR: 33 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan Walit Gold
SUAMI: Mohd Hilmi Zakaria @ Mustafa
ANAK: Natasha Balqis (11) dan Nuraisha Balqis (4)
No comments:
Post a Comment